Empat pemain yang beraksi dalam saingan Liga Super bakal menjadi nadi utama dalam usaha skuad Malaysia B-22 tahun untuk meraih pingat emas dalam temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Perkara ini ditegaskan oleh ketua jurulatih, E.Elavarasan dimana beliau yakin dengan kemampuan skuad Malaysia B-22 tahun meskipun diletakkan dalam kumpulan maut dalam temasya Sukan SEA 2023.

Pasukan negara diletakkan dalam kumpulan B bersama juara bertahan iaitu Vietnam, naib juara edisi lalu iaitu Thailand dan dua lagi pasukan iaitu Singapura dan Laos.

“Saya rasa peluang untuk menang (pingat emas) sentiasa terbuka. Apa yang paling penting dalam pasukan ialah pemain itu sendiri.

“Selepas tiga hari berlatih, saya rasa semua pemain berada dalam keadaan baik. Ada pemain yang selalu tampil di Liga Super. Ini akan memberi keyakinan kepada rakan sepasukan yang lain,” kata Elavarasan.

Empat pemain yang dimaksudkan Elavarasan ialah Sikh Izhan (Negeri Sembilan), Mukhairi Ajmal (Selangor), Ubaidullah Shamsul dan Azam Azmi Murad (Terengganu).

Malaysia akan membuka tirai saingan kumpulan B menentang Laos pasa 3 Mei disusuli dengan perlawanan menentang Thailand (6 Mei), Vietnam (8 Mei) dan kemudiannya Singapura (11 Mei).

Sekiranya Malaysia berjaya melepasi peringkat kumpulan, maka pasukan negara akan beraksi di peringkat separuh akhir pada 13 Mei dan perlawanan akhir serta perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat akan berlangsung pada 16 Mei.

Kalu terakhir Malaysia meraih pingat emas ialah pasa edisi 2011 di Jakarta, Indonesia dengan menewaskan pasukan tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti.

Kali terakhir pasukan negara memenangi pingat ialah pada edisi 2017 di laman sendiri dimana ketika itu skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee tewas kepada Thailand dengan keputusan 1-0.